Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Jun. – Dalam memperkukuhkan kerjasama melalui pelbagai aspek, Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Kali Ke-12 antara Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diadakan hari ini di sebuah hotel di Bandar Seri Begawan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, JKDM, Yang Berusaha Puan Hajah Siti binti Mang serta turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari JKED dan JKDM.
Mesyuarat tersebut membincangkan perkembangan terkini bagi kedua-dua pentadbiran kastam serta isu-isu berkepentingan bersama bagi memperkukuhkan lagi kerjasama.
Fokus diberikan kepada inisiatif bersama bagi memudah cara perdagangan rentas sempadan tanpa mengetepikan keselamatan pergerakan barangan di Pos-pos Kawalan serta pengawalan yang berkesan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak diinginkan seperti penyeludupan barang di sempadan dan perairan negara.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan kapasiti dan pertukaran pegawai melalui latihan dalam perkhidmatan (on-the-job training).
Mesyuarat Kerjasama Dua Hala Kali Ke-13 di antara JKED dan JKDM dijadualkan akan berlangsung di Malaysia pada tahun 2026.
