Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Januari. – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini mengadakan Sambutan Hari Kastam Antarabangsa Tahun 2026 bertempat di Ibu Pejabat JKED.

Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Customs Protecting Society Through Vigilance and Commitment’ iaitu tema yang digariskan oleh World Customs Organization (WCO).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal II), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Hajah Latifah binti Haji Awang Mahmud.

Majlis dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh tetamu kehormat dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengawal Kastam dan Ekais Diraja, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim.

Dalam ucapannya, beliau antara lain menegaskan bahawa JKED berperanan penting sebagai benteng keselamatan negara dan pemacu perdagangan yang adil.

Majlis diteruskan dengan penyampaian ‘epaulette’ kepada pegawai-pegawai JKED yang telah bertugas melebihi sembilan tahun sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan khidmat bakti mereka.

Sejurus selepas itu diikuti dengan Perasmian Pejabat Baharu Unit Pendaftaran Agen Kastam, yang mana memberikan kemudahan bagi para agen kastam untuk mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dengan lebih mudah, teratur dan efisien.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan JKED berkenaan.