Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
MADANG, Sabtu, 25 Januari. – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi menganjurkan Munajat Khas bagi kali ke-170 yang diadakan bersempena Sambutan Hari Kastam Antarabangsa Tahun 2025.
Munajat Khas dengan tumpuan utama di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis, Madang itu disemarakkan dengan penyertaan dari warga kerja JKED, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, serta KHEU dan jabatan-jabatan di bawah masing-masing.
Acara munajat ini juga disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman
Menyemarakkan lagi acara tersebut ialah guru-guru dan para pelajar dari sekolah-sekolah ugama di bawah Jabatan Pengajian Islam, KHEU, serta individu yang turut serta secara maya.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari JKED, Kementerian Kewangan dan Ekonomi diikuti bacaan Tahlil dipimpin oleh Penolong Penguasa Kastam dan Eksais Diraja, Awang Haji Mohammad Junaidi bin Haji Ahmad.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Masjid-masjid Zon 3, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim.
Munajat Khas diserikan lagi dengan Tazkirah disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.
Isi kandungan Tazkirah antara lain menekankan bahawa Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman di dalam Surah Al-Mulk, ayat 2 yang tafsirnya : “Dia (ALLAH) Yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.
Manakala bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Kumpulan Pendikir, JKED, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Acara diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, Awang Nuzli bin Haji Jumat.
