BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 Jun. – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengadakan Mesyuarat Ketua-ketua Pengarah Kastam ASEAN Ke-34 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir merasmikan mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Kira-kira 90 delegasi daripada 10 pentadbiran kastam Negara-negara Anggota ASEAN, Timor-Leste, Sekretariat ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN termasuk Pasukan Sempadan Australia, Kastam China, Kastam Jepun, Kastam Korea, Pertubuhan Kastam Dunia (WCO), Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Majlis Perniagaan EU-ASEAN, dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN hadir pada mesyuarat tersebut.

Terdahulu, Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim selaku Pengerusi menekankan kepentingan memajukan pemodenan kastam dan kerjasama bagi mencapai matlamat Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Beliau turut mengetengahkan kemajuan ketara yang dicapai di bawah Rancangan Strategik Pembangunan Kastam (SPCD) 2021-2025, khususnya dalam transformasi digital dan pemudahan perdagangan, serta menggariskan inisiatif yang bakal dilaksanakan bagi tempoh 2026–2030.

“Berkaitan perkembangan terkini mengenai langkah tarif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat, kita diingatkan tentang kerumitan dan ketidaktentuan yang terus membentuk landskap perdagangan global.

“Perkembangan ini menyerlahkan kepentingan perpaduan ASEAN dan peranan pentadbiran kastam dalam melindungi aliran perdagangan serta menyokong ketahanan ekonomi. Marilah kita terus bersatu untuk menegakkan prinsip keterbukaan, keadilan, dan saling menghormati dalam perdagangan antarabangsa,” jelasnya.

Mesyuarat ini dijadualkan berlangsung bermula 3 hingga 5 Jun di Bandar Seri Begawan dengan matlamat memperkukuh kerjasama kastam serantau dan memajukan integrasi ASEAN melalui inisiatif utama seperti ASEAN Single Window dan Sistem Transit Kastam ASEAN.

Mesyuarat ini juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan pemudahan perdagangan melalui prosedur yang dipermudah, kecekapan peraturan dan dasar inklusif bagi menyokong Perusahaan, Kecil dan Sederhana, termasuk program AEO yang disesuaikan.

Selain itu juga akan membincangkan transformasi digital, penambahbaikan pengurusan risiko, dan penguatkuasaan yang lebih kukuh untuk memerangi penyeludupan dan memastikan pematuhan.

Sesi perundingan bersama Rakan Dialog dan sektor swasta juga akan diadakan bagi mendapatkan cadangan serta menyelaraskan usaha serantau kastam dengan piawaian global.